RAWANG, 12 MAC 2026 - Bazar Ramadhan Santai Usaha Sama Bandar Tasik Puteri (BTP) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mencatatkan sejarah sebagai bazar Ramadhan terpanjang di Selangor, dengan penyertaan seramai 320 peniaga tempatan, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama kepada pengunjung di kawasan tersebut sepanjang bulan Ramadhan.

Penganjuran bazar ini merupakan sebahagian daripada usaha merealisasikan Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026–2030, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan penjaja kecil melalui penyediaan ruang perniagaan yang lebih teratur dan berdaya saing.
Menariknya, bazar ini turut mengetengahkan konsep santai atau “healing”, dengan penyediaan pelbagai kemudahan seperti ruang makan yang selesa, tempat solat serta kemudahan lain bagi memastikan pengunjung dan peniaga dapat menikmati suasana Ramadhan dengan lebih selesa dan teratur.

Penganjuran bazar melalui usaha sama pemaju Low Yat Group dan MPS ini turut mendapat kerjasama, tajaan dan sokongan daripada rakan-rakan strategik, iaitu PLATS Selangor, Bank Islam Malaysia Berhad, JKP Zon 18 MPS, serta Bigfoot Festival selaku pengelola bazar.

Register